Media Prima Labs | MPD, MDEC kerjasama martabat industri permainan digital
Mdec & MPD, media prima digital mou, Mdec , media prima, MPD , game, game hub, komune,
1864
single,single-post,postid-1864,single-format-standard,ajax_leftright,page_not_loaded,
 
Mdec & MPD MoU a

MPD, MDEC kerjasama martabat industri permainan digital

KUALA LUMPUR: Media Prima Digital (MPD) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usaha memartabatkan industri permainan.

Kerjasama itu bakal menarik minat pembangun dan pemain tempatan mahupun antarabangsa bagi menjalin kerjasama untuk menyemarakkan pembangunan permainan digital di Malaysia dan rantau ini.

Selain itu, ia juga mampu mengembangkan ekosistem dan merancakkan produktiviti sektor permainan digital dengan MPD bertanggungjawab dalam menilai dan menerbitkan permainan digital yang dipilih dan dibangunkan MDEC bersama penerbit tempatan.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPD, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng sambil disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Kamal Khalid dan CEO MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

Rafiq berkata, perjanjian ini diharap dapat memberi inspirasi kepada pembangun permainan yang muda dan cukup berbakat seterusnya memberi tunjuk ajar dalam mengembangkan kemahiran dan minat terhadap pembangunan industri permainan tempatan.

“Permainan video antara bidang digital yang semakin rancak berkembang di era ini dan MPD bangga dapat turut sama terbabit dalam kerjasama ini,” katanya pada majlis memeterai MoU itu di sini, hari ini.

Memorandum persefahaman itu adalah antara langkah awal dalam mempersiapkan Kuala Lumpur untuk persidangan pembangunan permainan dan ‘game jam’, Level Up KL 2017 yang akan berlangsung pada November ini.

Sementara itu, Yasmin berkata, MDEC sentiasa mencari peluang untuk menjalinkan kerjasama rapat yang dapat menyuburkan industri kreatif.

“…kerjasama dengan MPD ini, kita berharap ia dapat menjadi permulaan kepada organisasi media yang lain untuk turut sama menerbitkan permainan video yang dihasilkan di sini.

“Ini adalah satu langkah besar untuk Malaysia dalam menjadikan negara sebagai hab permainan serantau,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, MDEC mahu memperluaskan komuniti pembangun permainan video dan membawa MPD sebagai rakan utama pembangunan bersama.

“Menyediakan MPD dengan akses terus kepada hab pembangunan permainan yang akan dilancarkan tidak lama lagi adalah satu langkah penting kerana ia akan memberi impak lebih besar termasuk platform baharu yang akan diuruskan bersama MPD dan MDEC.

“Ia sekali gus dapat mempromosikan Malaysia dan hab permainannya sebagai lokasi terbaik pembangunan permainan di samping mendapatkan sokongan untuk usaha generasi kandungan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Level Up KL 2017 sila layari http://levelup.asia/.

Berita Harian