
Media Prima Labs menang 4 emas, 2 gangsa
Kuala Lumpur: Media Prima Labs melakar sejarah apabila berjaya merangkul enam anugerah termasuk empat emas dan dua gangsa di majlis Anugerah Mob-Ex 2017 yang berlangsung di Singapura, malam tadi. Media Prima Labs selaku platform digital Media Prima Berhad membawa pulang anugerah bagi kategori Aplikasi Terbaik – Kreativiti, Aplikasi Terbaik – Pemilik Media, Aplikasi Terbaik – Permainan dan Hiburan dan Aplikasi Terbaik – Tablet menerusi aplikasi permainan video mudah alih Ejen Ali MATA Training Academy dan Ejen Ali Emergency.
Ejen Ali MATA Training menerima pengiktirafan tiga emas dan satu gangsa, manakala Ejen Ali Emergency menang satu emas dan satu gangsa. Menurut Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs & Operasi, Nicholas Sagau, melalui kemenangan ini membuktikan bahawa permainan video mudah alih ciptaan anak Malaysia berpotensi untuk pergi lebih jauh.
Permainan video mudah alih Ejen Ali, diinspirasikan daripada siri animasi Ejen Ali. Permainan video mudah alih ini sudah dilancarkan sejak Mac tahun lalu. Sehingga hari ini, Ejen Ali telah dimuat-turun sebanyak 1 juta kali sejak ia dilancarkan.